Facebook FanBox

Recommed Forex Broker

Degoo Cloud Free 100GB

100 GB Free Backup

20/03/12

Gempar: Gadis diculik, kanak-kanak dibunuh

KUALA LUMPUR, 20 Mac: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) memandang serius kes penculikan dan pembunuhan kanak-kanak serta gadis Malaysia baru-baru ini.

Ketua Penerangannya, Riduan Mohd Nor berkata, kejadian culik dan bunuh Nurul Nadirah Abdullah baru-baru ini serta kes culik seorang gadis Malaysia berusia 14 tahun yang cuba dibawa lari ke Thailand untuk dijadikan pelacur sememangnya amat menggemparkan negara.

Katanya, kejadian yang menimpa gadis itu menunjukkan seriusnya isu jenayah culik di negara ini.

“Ia menimbulkan keresahan dan kebimbangan bahawa kadar keselamatan rakyat di negara ini berada dalam keadaan bahaya,” ujarnya kepada Harakahdaily.

Beliau berkata, nyawa dan maruah anak-anak gadis malah sesiapa sahaja boleh melayang kerana adanya sindiket yang berleluasa.

Tambahnya, apa yang berlaku ke atas gadis tersebut menimbulkan suatu persepsi bahawa jenayah yang berlaku di negara ini hampir sama dengan jenayah di negara-negara yang mempunyai kumpulan ‘gangster’ dan mafia terbesar di dunia.

“Kumpulan mafia ini mampu membunuh sesiapa sahaja yang menggugat gerakan mereka termasuk melakukan aktiviti penculikan, pelacuran dan pembunuhan,” katanya lagi.

Justeru, ujarnya DPPM mempersoalkan mengapa kejadian itu boleh berlaku dalam masyarakat hari ini.

“Apakah ini menunjukkan kegagalan penerapan nilai agama oleh kerajaan sehingga gagal mendidik generasi yang bertaqwa dan patuh kepada perintah agama?

“Mungkinkah juga ia berpunca dari lemahnya sistem keselamatan negara ini sehinggakan penjenayah dari negara asing dengan mudah meloloskan diri dan melakukan jenayah sepuas hati di negara ini serta mampu menyeludup keluar rakyat negara ini keluar negara tanpa dikesan?” soalnya.

Dengan kejadian itu, ujar beliau DPPM mendesak kerajaan agar mengetatkan kawalan di sempadan negara ini bagi mengelakkan rakyat asing masuk ke negara ini sewenang-wenangnya serta rakyat negara ini dibawa lari keluar negara.

Selain itu, ujarnya lagi kerajaan perlu mengkaji balik dasar mengambil warga asing sebagai pekerja di negara ini.

Menurutnya, dengan jumlah pekerja asing yang begini ramai di negara ini, tidak mustahil lebih banyak jenayah akan berlaku.

“Pekerja asing yang membanjiri negara juga berjaya menukar landskap sesebuah kawasan dan bandar di negara ini seolah-olah menjadi hak milik mereka sehingga menimbulkan ketakutan warga tempatan,” katanya.

Mereka juga, tambah beliau membawa masuk pengaruh budaya mereka sehingga merosakkan budaya masyarakat negara ini.

Oleh itu, kata Riduan DPPM menuntut agar kawalan keselamatan di dalam negara ini dipertingkatkan dari masa ke semasa.

“Pihak keselamatan perlu melakukan rondaan dan pemantauan yang kerap serta menambah bilangan pasukan keselamatan di merata tempat dalam negara ini bagi mengelakkan kejadian ini berulang,” ujarnya.

Beliau menambah, rakyat di negara ini berharap tidak ada lagi kes penculikan kanak-kanak dan gadis tempatan untuk dijadikan mangsa sindiket pelacuran negara lain.

Kerajaan ditipu, diperbodoh AirAsia - MP BN

KUALA LUMPUR, 20 Mac: Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Bung Moktar Radin mendakwa kerajaan Barisan Nasional (BN) telah ditipu, diperbodoh dan dipermainkan dalam penggabungan MAS-AirAsia.

"Rupa-rupanya kolaborasi ini telah dimanipulasikan oleh AirAsia itu sendiri," dakwa beliau dalam ucapannya di Dewan Rakyat semalam.

Beliau menuduh AirAsia memanipulasi penggabungan itu apabila melantik salah seorang pengasas bersama serta ahli lembaga pengarah penerbangan harga rendah itu, Conor McCarthy, sebagai pengarah urusan MAS selepas berlakunya penggabungan itu.

Bung Moktar juga menuduh Pengarah Urusan Khazanah Nasional, Tan Sri Azman Mokhtar sebagai "master mind".

"Ini bermakna kerajaan telah ditipu oleh AirAsia - diperbodohkan, dipermainkan melalui Khazanah.

"Oleh sebab itu saya minta SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) siasat Ahli Lembaga Khazanah Nasional Bhd, Tan Sri Azman Mokhtar ini – dia master mind! Dia yang merugikan duit kerajaan, duit rakyat. Kenapa tidak disiasat?" dakwa Ahli Majlis Tertinggi Umno itu.

Selain Azman, Bung Moktar juga menuntut supaya disiasat Pengarah Komersil Interim MAS, Shane Nolan; Ketua Pegawai Kewangan (CFO) MAS, Rozman Omar; Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kejuruteraan Aerospace MAS, Azhari Mohd Dahlan dan Ketua Komunikasi Strategik MAS, Nor Zalida Ahmad.

Rozman, Azhari dan Nor Zalida kesemuanya dari AirAsia. Nor Zalida pernah dilaporkan sebagai anak saudara kepada Timbalan CEO AirAsia, Datuk Kamarudin Meranun.

Sama seperti McCarthy, Nolan adalah dari PlaneConsult, iaitu konsultan AirAsia.

Bung Moktar juga mendakwa, MAS mengalami kerugian sebesar RM2 bilion berikutan penggabungan dengan AirAsia itu. "Saya cukup sedih bagaimana kolaborasi ini apabila MAS rugi dekat RM2 bilion tetapi AirAsia pula untung RM500 juta!" dakwa beliau.

Beliau meminta penggabungan itu dibatalkan serta-merta.

"Saya mahu mintalah kerajaan agar batalkan kolaborasi ini dengan serta-merta sebab MAS menanggung banyak kerugian daripada kesilapan demi kesilapan dan kesilapan inilah yang akan memusnahkan harapan rakyat," katanya.

Beliau juga menuntut Azman diundurkan dari Khazanah.

"Dia yang menjadi dalang yang menghancurkan. Khazanah membuat investment di sana sini dan bukan semua investment menguntungkan, banyak yang rugi. Rugi kerajaan yang tanggung.

"Untung dia kaya raya. Dia dapat bonus. Gaji tidak tahu berapa puluh juta, berapa puluh ribu, elaun dan sebagainya," dakwa Bung Moktar.

Tidak diketahui adakah Azman membuat keputusan bersendirian tanpa restu dan persetujuan Pengerusi Lembaga Pengarah Khazanah, iaitu Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

19/03/12

Isu Wikileaks: Siapa sebenarnya yang takut berdebat

KUALA LUMPUR, 19 Mac: Wawancara antara pemilik Wikileaks, Julian Assange dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim akan diteruskan tanpa penyertaan penumpang dalam wawancara ini.

Menurut Ketua Staf Pejabat Anwar, Ibrahim Yaacob, Anwar dan penerbit wawancara ini, Quick Roll Productions telah bersetuju dengan keputusan ini.

Media BN melaporkan kononnya Anwar didakwa takut untuk berdebat dengan Raja Petra Kamarudin, pemilik blog Malaysian-today.

"Pertamanya kami mahu menjelaskan bahawa permohonan yang diajukan oleh Wikileaks kepada Pejabat Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah satu wawancara antara Julian Assange dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Kemudiannya barulah pihak kami diberitahu Raja Petra mahu menumpang dalam wawancara tersebut.

"Makanya Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa beliau hanya menyatakan persetujuan untuk permintaan yang asal iaitu wawancara antara beliau dengan Julian Assange," kata Ibrahim Yaacob.

Oleh itu, katanya, Quick Roll Productions, pihak produksi yang terlibat dengan wawancara ini telah membuat keputusan editorial untuk meneruskan format wawancara antara Julian Assange dengan Anwar Ibrahim tanpa melibatkan penumpang lainnya.

Keputusan editorial tersebut semata-mata dibuat oleh Quick Roll Productions dan tidak dipaksakan oleh Pejabat Datuk Seri Anwar Ibrahim ke atas mereka, beritahu beliau.

Debat Anwar-Najib

Menurut pejabat Anwar itu, mereka merasa terpanggil apabila Datuk Seri Najib Razak menggunakan isu ini sebagai pelantar untuk mentohmah Datuk Seri Anwar Ibrahim kononnya takut berdebat dengan Raja Petra.

"Kami kesal kerana Datuk Seri Najib Razak bercakap tidak berdasarkan fakta yang sebenar kerana tidak timbul soal debat sedangkan yang dipersetujui antara Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan Julian Assange adalah wawancara satu sama satu.

"Akan tetapi oleh kerana YAB Perdana Menteri beriya-iya bercakap soal debat, kami berpendirian adalah sangat baik untuk rakyat dan negara ini sekiranya Datuk Seri Najib Razak bersetuju untuk berdebat dengan YB Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim," katanya.

Menurut beliau, perdebatan antara Ketua Pembangkang dengan Perdana Menteri berkaitan isu nasional pastinya memberi manfaat yang banyak kepada rakyat dan negara Malaysia.

Justeru keengganan Datuk Seri Najib Razak untuk berdebat dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim memunculkan tanda tanya di kalangan rakyat terbanyak.

"Sama ada Perdana Menteri takut ataupun tidak punya komitmen untuk menyuburkan amalan Demokrasi di negara ini," tambahnya.

Harakahdaily.

NFC akan diheret ke PAC esok

National Feedlot Corporation (NFC) akan diheret menghadapi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) esok bagi membantu siasatan ke atas projek ternakan lembu itu yang didakwa terbabit dengan penyelewengan jutaan ringgit wang rakyat.

"Kami bertindak berdasarkan (peraturan) tertentu. Terdapat perkara-perkara yang sub judice, tetapi ini bukanlah kali pertama kami menyentuh mengenai perkara-perkara yang masih dibicarakan di mahkamah," kata Pengerusi PAC, Azmi Khalid.

Pada keterangan selama empat jam hari ini, jawatankuasa parlimen itu mendengar kenyataan daripada wakil Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani dan Kementerian Kewangan.
PERINGATAN: Blogger 1Rakyat tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
PENAFIAN: Semua petikan berita dan video di ambil dari web tempatan dan luar negara ada kena mengena dengan kepimpinan negara dan politik tanah air. Petikan ini hanya di buat untuk penilaian pengunjung sahaja untuk melihat kejadian sebenar senario politik Malaysia bukanlah dari luahan sebenar dari blogger 1Rakyat. Anda digalakan mengambil semua maklumat atau berita dalam blog ini untuk dijadikan rujukan dan pandangan dari pihak lain (copy & paste adalah digalakkan).

Posting Popular

Rakan Seperjuangan

Paparan halaman minggu lalu

Archive

BROKER PILIHAN ANDA

Ustaz Azhar Idrus

Watch videos at Vodpod and more of my videos

Blog List 3

Terdapat ralat dalam alat ini

Live Blog Stats

Suara Rakyat | About |Advertising |Blogger © 2011. modified by 1Rakyat