Facebook FanBox

Recommed Forex Broker

6/11/11

Aidiladha disambut sederhana di seluruh negara

Aidiladha hari ini disambut seluruh masyarakat Islam secara sederhana dan dalam keadaan berjaga-jaga bagi menghadapi kemungkinan banjir ekoran keadaan cuaca yang diramalkan tidak menentu di kebanyakan negeri.

Biarpun kedatangan Hari Raya Korban tetap diraikan, beberapa negeri di utara tanah air yang sebelum ini dilanda cuaca buruk tetap berwaspada berikutan hujan yang diramal turun di sebelah petang.

Bagaimanapun, cuaca baik di kebanyakan negeri pada sebelah pagi membolehkan umat Islam menunaikan solat sunat Hari Raya diikuti ibadah korban dengan menyembelih lembu dan kambing dalam keadaan selesa.

Dalam pada itu, seramai 28,000 jemaah haji Malaysia, termasuk Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor antara kira-kira 3 juta jemaah haji seluruh dunia yang sedang berkumpul di Arafah untuk berwukuf yang merupakan salah satu rukun dalam ibadah haji.

Perdana Menteri dan isteri yang berlepas ke Arab Saudi pada 31 Oktober lalu turut diiringi bonda Najib, Tun Rahah Mohamad Noah dan adik Najib, Datuk Mohamed Nazim.

Di Kuala Lumpur, kira-kira 10,000 orang ramai termasuk warga asing segak dengan pakaian berwarna warni bersama-sama memenuhi Masjid Negara bagi menunaikan solat sunat Aidiladha.

Cuaca yang redup memudahkan pergerakan orang ramai yang mula tiba seawal pukul 7 pagi bagi menunaikan solat itu yang diimamkan oleh Imam Masjid Negara Ustaz Ehsan Mohd Hosni sebelum beliau menyampaikan khutbah bertajuk 'Aidiladha: Mengerat Perpaduan Ummah'.

Umat Islam di ibu kota khususnya yang tidak berpeluang untuk meraikan Aidiladha bersama keluarga tetap mengambil kesempatan untuk meraikan hari raya dengan menyertai acara korban di masjid-masjid dan surau selain mengadakan rumah terbuka bagi mengeratkan lagi ukhuwah dan silaturahim antara kaum.

Di Terengganu, Setiausaha kerajaan negeri Datuk Mazlan Ngah bersama kira-kira 2,000 umat Islam menunaikan solat sunat Aidiladha di Masjid Al-Muktafi Billah Shah, Ladang, Kuala Terengganu.

Sambutan Hari Raya agak meriah kerana cuaca agak baik dan hujan yang berhenti sejak malam tadi memudahkan umat Islam melakukan ibadah korban.

Di Perlis, Aidiladha disambut secara sederhana dengan cuaca cerah membolehkan umat Islam menunaikan ibadah korban di segenap kampung dan taman perumahan dengan lebih sempurna selepas menunaikan solat sunat hari raya.

Ribuan ternakan terutama lembu dan kambing dikorbankan tahun ini termasuk 45 ekor lembu yang disumbangkan oleh kerajaan negeri dan 42 ekor yang disumbangkan oleh ahli parlimen Arau, Datuk Ismail Kasim.

Di Ipoh, Pemangku Raja, Raja Dr Nazrin Shah dan Raja Dihilir Perak Raja Jaafar Raja Muda Musa menunaikan solat sunat Aidiladha bersama-sama lebih 3,000 rakyat jelata di Masjid Sultan Azlan Shah.

Menteri Besar Perak Datuk Seri Zambry Abdul Kadir yang kini menunaikan fardu haji di Mekah dijangka pulang pada 10 Nov ini.

Kerajaan negeri turut mengerjakan ibadah korban iaitu 11 ekor lembu dengan dikelolakan oleh Yayasan Perak di kediaman rasmi Menteri Besar, esok.

Di Shah Alam, kira-kira 10,000 umat Islam menunaikan solat sunat Aidiladha bersama Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim di masjid negeri, Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah.

Selain masyarakat tempatan, Masjid Negeri di Shah Alam turut menjadi tumpuan para pelajar Islam dari luar negara terutamanya yang menuntut di Universiti Antarabangsa Al-Madinah dan juga pekerja-pekerja asing terutamanya warga Bangladesh dan India yang mencari rezeki di sini, untuk menunaikan solat sunat.

Upacara korban dimulakan pada pukul 10.15 pagi tadi dengan 34 ekor lembu dijadualkan disembelih dan dagingnya disedekahkan kepada fakir miskin.

Di Sandakan, Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman menunaikan solat sunat Aidiladha bersama-sama lebih 2,000 rakyat jelata di Masjid Taman Merpati.

Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin kini berada di Mekah bagi menunaikan fardu haji.

Umat Islam turut memenuhi Masjid Negeri di Sembulan dan Masjid Bandaraya Kota Kinabalu di Likas untuk menunaikan solat sunat Aidiladha.

Di Alor Setar, Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Muadzam Shah menyertai ribuan umat Islam di bandaraya Alor Setar menunaikan solat sunat Aidiladha di Masjid Zahir.

Baginda berkenan bersalaman dengan para jemaah selepas selesai menunaikan solat yang diimamkan imam besar Masjid Zahir, Sheikh Roslan Abdul Halim Al-Hafiz yang turut membacakan khutbah.

Turut sama menunaikan solat di masjid itu ialah Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak, beberapa anggota exco kerajaan negeri dan pegawai-pegawia kanan kerajaan negeri.

Sementara itu, cuaca di bandaraya Alor Setar hari ini agak baik berbanding dua hari lalu di mana beberapa kawasan di Kedah dilanda ribut yang disertai hujan dan merosakkan beratus buah rumah.

Di Pulau Pinang, Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Tun Abdul Rahman Abbas menunaikan solat sunat Aidiladha bersama kira-kira 2,000 umat Islam di Masjid Negeri Pulau Pinang.

Cuaca cerah pada sebelah pagi juga memberi peluang kepada penduduk setempat untuk mengeratkan silaturahim dengan menziarahi sanak saudara terdekat.

Di Johor Baharu, Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim menunaikan solat Aidiladha bersama-sama lebih kurang 2,000 rakyat jelata di Masjid Sultan Abu Bakar.

Turut menunaikan solat di masjid negeri itu ialah Menteri Besar Datuk Abdul Ghani Othman serta beberapa exco kerajaan negeri yang lain.

Di Kuala Pilah, Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Mukhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir menunaikan solat sunat Aidiladha di Masjid Diraja Tuanku Munawir, Seri Menanti.

Turut mengiringi baginda, Tunku Ampuan Besar Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud serta dua anakanda baginda Tunku Ali Redhauddin dan Tunku Zain Al'Abidin pada solat yang diimamkan imam masjid berkenaan Abdul Rahman Ibrahim.

Selesai solat, baginda berkenan menyaksikan penyembelihan 15 ekor lembu untuk ibadah korban di perkarangan masjid berkenaan, dan berkenan mengagih-agihkan daging korban kepada ibu tunggal dan warga emas.

Tunku Mukhriz bersama keluarganya juga sempat berangkat ke makam ayahanda baginda di makam diraja untuk bacaan tahlil dan doa yang dipimpin oleh Mufti Negeri Datuk Mohd. Yusof Ahmad.

Di Melaka, Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Ali Rustam menyertai kira-kira 7,000 muslimin dan muslimat menunaikan solat sunat Aidiladha di Masjid Al-Azim, Bukit Palah.

Turut sama ialah Speaker Dewan Undangan Negeri Melaka Datuk Othman Muhamad, anggota-anggota Exco dan pegawai kanan kerajaan.

Sebahagian jemaah kemudian menyertai majlis korban sebanyak 14 ekor lembu yang diadakan di kawasan meletak kenderaan di masjid itu selepas solat sunat.

Di Kuching, Menteri Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga Datuk Fatimah Abdullah meryertai majlis korban sebanyak 16 ekor lembu yang diadakan di surau Desa Guru di Semariang di sini oleh penduduk setempat secara bergotong-royong.

Daging korban itu kemudian diagihkan kepada penduduk serta fakir miskin di Desa Guru dan kawasan sekitar.

Sementara itu, Menteri di Pejabat Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem menghadiri majlis yang sama di masjid Kampung Sempadi di Lundu dan kemudiannya di masjid berdekatan di Kampung Sekambai.

Timbalan Speaker Dewan Rakyat Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar turut menyampaikan sumbangan bakti kepada mangsa bencana pada majlis Hari Raya Aidiladha di Kampung Tanjung di sini manakala Menteri Muda Hal Ehwal Islam Datuk Daud Abdul Rahman menghadiri majlis agihan daging korban di Kampung Tanjung.

- Bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Blogger Comment

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.

PERINGATAN: Blogger 1Rakyat tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
PENAFIAN: Semua petikan berita dan video di ambil dari web tempatan dan luar negara ada kena mengena dengan kepimpinan negara dan politik tanah air. Petikan ini hanya di buat untuk penilaian pengunjung sahaja untuk melihat kejadian sebenar senario politik Malaysia bukanlah dari luahan sebenar dari blogger 1Rakyat. Anda digalakan mengambil semua maklumat atau berita dalam blog ini untuk dijadikan rujukan dan pandangan dari pihak lain (copy & paste adalah digalakkan).

Posting Popular

Rakan Seperjuangan

Paparan halaman minggu lalu

Archive

BROKER PILIHAN ANDA

Ustaz Azhar Idrus

Watch videos at Vodpod and more of my videos

Blog List 3

Terdapat ralat dalam alat ini

Live Blog Stats

Suara Rakyat | About |Advertising |Blogger © 2011. modified by 1Rakyat