Facebook FanBox

Recommed Forex Broker

25/09/10

Mahathir macam raja lawak Astro

ALOR SETAR, 25 Sept: Peringatan Tun Dr Mahathir Mohamad kepada orang Melayu bahawa mereka akan kehilangan kuasa dan 'suara' jika Pakatan Rakyat berjaya mengambil alih pemerintahan negara dianggap sebagai bahan jenaka dari seorang raja lawak Astro yang baru.

"Kenyataannya itu saya anggap sebagai kemunculan seorang raja lawak Astro baru dengan dailog jenaka dan bahan lawak yang mampu membuatkan orang ramai sama ada generasi baru atau lama ketawa hingga tidak kering gusi.

"Sesuai sangatlah dengan watak tuanya, beliau menggantikan pelawak-pelawak yang seusianya seperti Ibrahim Din, M. Zain dan 'ahli mesyuarat tingkap' lain yang telah tiada, dan kini tinggal Dr Mahathir seorang sahaja lagi," kata Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar sinis yang ditemui pada majlis penyerahan tajaan FusionExcel International kepada Persatuan Bolasepak Melayu Kedah, petang semalam.

Sebaliknya, beliau yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena itu mendakwa, kuasa dan suara orang Melayu akan lenyap sekiranya Umno dan Barisan Nasional (BN) terus diberi peluang memerintah negara ini pada masa pilihan raya akan datang.

Menurut Mahfuz, Umno dan Barisan Nasional (BN) telah diberi peluang memerintah negara sejak 53 tahun yang lalu dan sepanjang tempoh itu, mereka terbukti gagal meningkatkan taraf ekonomi orang Melayu dan sekaligus meletakkan kaum itu tertinggal jauh di belakang.

"Baru-baru ini, Ahli Majlis Tertinggi Umno, Dr Puad Zarkashi meminta kerajaan mendedahkan fakta dan kedudukan sebenar ekonomi orang Melayu yang tertinggal sejak negara merdeka dan ini bukti jelas orang Melayu jauh kebelakang apabila dari kalangan mereka sendiri yang mempersoalkannya.

"Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang dilaksanakan sejak 40 tahun lalu juga tidak berupaya memajukan orang Melayu dan ini menguatkan lagi hujah bahawa mereka gagal membela orang Melayu.

"Apakah Umno dan BN nak minta tambahan masa lagi 53 tahun atau 40 tahun untuk memajukan orang Melayu? Kuasa dan suara orang Melayu akan terus hilang kalau mereka diberi peluang lagi untuk memerintah negara," katanya.





Nizar kata Mahathir perkauman, Izzah cabar berdebat

Nizar kata Mahathir perkauman, Izzah cabar berdebat




KUALA LUMPUR, 24 Sept: Bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaludin mendakwa Tun Dr Mahathir dikuasai otak perkauman manakala Nuzul Izzah Anwar pula mencabarnya berdebat ekoran dakwaan beliau Melayu akan hilang kuasa jika Pakatan Rakyat memerintah.


"Oleh itu, dengan matlamat untuk bertukar pendapat, demi mewujudkan 'Malaysia Yang Lebih Baik Untuk Semua Rakyat', saya dengan rendah hati membuat tawaran untuk berdebat dengan Tun Dr Mahathir supaya 'kebimbangan' Melayu - yang pastinya tidak melibatkan keseluruhan masyarakat - yang disebut itu dapat dijelaskan, sama ada kerana Takut Melayu Hilang Kuasa atau Hilang Harta?" kata Nurul Izzah dalam satu kenyataannya.

Bagi bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Muhamad Nizar Jamaludin (gambar), kenyataan Mahathir itu satu kenyataan bersifat perkauman.

Beliau memberi jaminan, yang akan hilang kuasa jika Pakatan Rakyat menang adalah Umno bukannya Melayu.

"Umno pasti hilang kuasa dan suara jika PR memerintah negeri-negeri dan pusat. Tun Mahathir kata Melayu hilang kuasa dan suara. Ini kenyataan rasis dan hasutan," kata beliau dalam twitternya.

Media hari ini menyiarkan kenyataan Mahathir yang mendakwa kuasa politik Melayu akan hilang sekiranya Pakatan Rakyat yang digelarnya parti pembangkang mendapat kuasa sebagai di Perak sebelum dirampas oleh Barisan Nasional.

Beliau mendakwa, walaupun menteri besarnya Melayu dari PAS iaitu Muhamad Nizar tetapi kerajaan itu dikuasai oleh DAP.

Nizar berkata, kenyataan sebegini adalah jelas dari otak perkauman Mahathir.

"PAS bertindak secara Islam untuk mendapatkan dari Umno yang perkauman untuk menyelematkan Malaysia," kata Nizar.

Bagi Nurul Izzah pula, kenyataan Mahathir itu tidak bertanggungjawab dan merupakan sebahagian usaha terdesak untuk menjejaskan kestabilan negara.

Selain penggunaan isu perkauman, Umno juga memakai satu-satunya pendekatan yang mereka mahir, iaitu 'Politik Ketakutan'. 'Politik ketakutan' menggunakan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan sebagai alat untuk penipuan yang penuh terdesak, katanya.

Menurut Nurul Izzah (gambar), masyarakat Melayu diindoktrinasi melalui pelbagai cara termasuk penggunaan NGO untuk berlakon sebagai mangsa dengan tujuan untuk mengeliru dan membantutkan seluruh anggota masyarakat supaya kekal terpasung fikirannya dan emosinya baik oleh kerajaan penjajah dan kini melalui penggantinya, Umno.

Beliau dipercayai merujuk kepada Pergerakan Pribumi Perkasa (Perkasa) yang dipimpin oleh Datuk Ibrahim Ali yang mana Mahathir adalah penasihatnya.

"Matlamat ini tidak lain dan tidak bukan untuk mengekalkan dominasi politik oleh sekelompok kecil elit Melayu yang rapat dengan pusat kuasa, melalui rasuah, salah guna kuasa dan secara berterusan mengabaikan perlembagaan.

"Malang sekali kerana tindakan mereka ini dibantu oleh MCA, MIC, Gerakan dan parti komponen BN lain yang terus membisu dan membuang tanggungjawab yang sepatutnya digalas.

"Kita perlu melawan usaha-usaha ini dengan menekankan 'Politik Berlandaskan Harapan dan Kebebasan' yang akan mengubah Minda Melayu daripada kebimbangan palsu tentang kehilangan identiti dan pembangunan ekonomi kepada daya positif yang akhirnya mencipta masyarakat yang penuh keyakinan dan tidak lagi terkongkong," kata beliau dalam kenyataannya.



24/09/10

Zunar ditangkap polis, buku terbaru dirampas

Kartunis popular Zunar atau nama sebenarnya Zulkiflee Anwar Ulhaque hari ini ditahan polis mengikut seksyen 4 (1) Akta Hasutan.

Beliau kini dilaporkan dibawa kepada ibu pejabat polis daerah Petaling Jaya.

Sebelum itu, pada sekitar jam 4 petang tadi, polis menggelidah premis Sepakat Efektif Sdn Bhd yang dimiliki Zunar dan merampas kira-kira 67 naskhah terbaru buku Cartoon-O-Phobia yang dijadualkan dilancarkan malam ini.





Menurut Zunar yang sempat menghubungi Malaysiakini dan bercakap secara tergesa-gesa memberitahu pejabatnya yang juga menempatkan Kafe Kartun diserbu oleh sepuluh anggota polis yang diketuai oleh ASP Ari Krishna daripada balai polis Brickfields.

"Kami diberitahu bahawa laporan polis telah dibuat berhubung penerbitan buku itu,” katanya kepada Malaysiakini.

Zunar berkata selain buku terbarunya itu, turut dirampas adalah beberapa lukisan kartunnya.

“Saya sedang cuba melenggah-lenggah masa sehingga peguam saya tiba,” katanya.

Sebelum ini, beberapa bukunya termasuk 1Funny Malaysia, Perak Darul Kartun dan Isu Dalam Kartun, juga diharamkan.

Pada 17 September lalu, Zunar memberitahu Malaysiakini Cartoon-o-phobia (ketakutan pada kartun) sebagai usah terbarunya yang terus menyindir kerajaan.

"Ketika diharamkan pada Jun lalu, alasan yang diberi kerajaan ialah kerana buku-buku dan majalah saya itu dianggap mengancam ketenteraman awam dan boleh mempengaruhi orang ramai supaya merusuh terhadap kerajaan.

"Kerana itu, nama Cartoon-o-phobia dipilih bagi menggambarkan ketakutan sesetengah pihak kepada karya-karya kartun," kata Zunar.

Cartoon-o-phobia diterbitkan oleh Kinibooks - sebuah anak syarikat Malaysiakini.

Kebanyakan karya-karya kartun itu adalah koleksi pilihan kartun-kartun yang tersiar dalam Malaysiakini dari Disember 2009 hingga September 2010.

Antara yang disentuhnya ialah isu-isu yang menjadi perbualan awam seperti isu Altantuya, konspirasi terhadap Anwar, isteri PM, kehilangan jet enjin, Scorpene yang tak boleh menyelam, Sarawak, perkauman, korupsi dan lain-lain.

Cartoon-o-phobia mempunyai 80 halaman berwarna-warni dan dijual ada harga RM25.00. Ia juga boleh dibeli secara online melalui gerakbudaya.com dan cartoonkafe.com.

Zunar kemudiannya dilihat dibawa keluar daripada IPD Brickfields dengan menaiki kenderaan polis pada kira-kira jam 7 petang ini.

Lathefaa berkata, Zunar dibawa ke IPD Puchong untuk siasatan lanjut.

Latheefa ketika bercakap kepada wartawan di luar IPD Brickfields selepas itu berkata polis telah menyiapkan laporan penahanan Zunar.

"Tapi saya tidak pasti sama ada laporan itu dibuat bawah Akta Hasutan atau Akta Penerbitan dan Mesin Cetak," katanya.






SYABAS tuntut pampasan RM308 juta dari S'gor

Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS) menuntut bayaran "pampasan" M308 juta dari kerajaan Selangor kerana mendakwa dihalang daripada menaikkan tarif air di Selangor.

SYABAS membuat tuntutan itu menerusi dua surat tuntutan bertarikh 15 Septermber lalu, kata setiausaha politik menteri besar Selangor, Faekah Husin.

Katanya, syarikat tersebut menuntut pampasan itu kerana mendakwa mengalami kerugian kerana keengganan kerajaan Selangor membenarkan tarif air dinaikkan yang dikatakan terkandung di dalam perjanjian konsesi.

"SYABAS pada masa yang sama mengugut untuk mengheret kerajaan Selangor ke mahkamah jika gagal menunaikan tuntutan mereka dan enggan mematuhi syarat perjanjian," tegas Faekah dalam satu kenyataan hari ini.

Bagaimanapun, katanya, kerajaan negeri tidak gentar dengan tuntutan SYABAS itu.

Kerajaan negeri, katanya, berpendapat syarikat itu tidak layak sama sekali untuk menaikkan tarif air sedangkan rakyat Selangor masih berdepan dengan pelbagai masalah air.

"Antaranya, bekalan air yang teruk, bekalan air yang tidak berkualiti dan peratusan air tidak berhasil (NRW) yang tinggi disebabkan penyelenggaraan paip yang buruk yang telah mengakibatkan kerajaan negeri kerugian berjuta ringgit," tambahnya.

Menurut Faekah, jika SYABAS dibenarkan menaikkan tarif air sehingga 37 peratus seperti yang disebut dalam perjanjian konsesi, harga air akan menjadi lebih mahal daripada harga petrol hari ini.

"Kerajaan negeri tidak akan membenarkan perkara ini berlaku kerana rakyat masih dibelenggu dengan kemelut ekonomi global, apatah lagi perkhidmatan air yang diberikan tidak setimpal dengan harga yang dikenakan.

"Adalah menjadi tanggungjawab kerajaan Selangor mempertahankan hak rakyat Selangor mendapatkan perkhidmatan air yang terbaik dengan harga yang berpatutan.

"Air adalah keperluan asas yang dianugerahkan Allah dan oleh itu, hanya kos minimal bagi proses rawatan air patut dikenakan," tambahnya.

Katanya lagi, konsep penswastaan yang diperkenalkan pada 1982 mempunyai matlamat jelas iaitu mengurangkan tanggungan kerajaan dalam memberi perkhidmatan asas kepada rakyat dan pada masa yang sama tidak membebankan rakyat dengan bayaran yang melampaui kemampuan.

Pengenalan konsep tersebut, tambahnya, tidak tercatatat langsung bahawa penswastaan bertujuan untuk memberi keuntungan melampau kepada mana-mana pihak apatah lagi mereka yang berkait rapat dengan pemerintah.

Pada masa yang sama, kata Faekah, kerajaan Selangor yakin mempunyai hak dan alasan yang kukuh untuk mengheret SYABAS ke mahkamah kerana kegagalannya mematuhi beberapa asas penting yang terkandung dalam perjanjian konsesi air yang ditandatangani.

"Akibat kegagalan tersebut telah merugikan rakyat Selangor sehingga mencecah jutaan ringgit," tambahnya.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, katanya, telah berulangkali menegaskan bahawa kerajaan negeri akan menentang dengan cara apa sekali pun usaha SYABAS atau mana-mana pihak yang mencabar rakyat Selangor terhadap hak mutlak air.

"Bagaimanapun, kerajaan negeri menangguhkan sebarang niat untuk menggunakan hak sedia ada (undang-undang) bagi menghormati perbincangan pihak-pihak yang terlibat dalam menyelesaikan penstrukturan semula hak konsesi air dan model perancangan yang boleh digunapakai.

"SYABAS sesungguhnya maklum akan perbincangan yang dilakukan dan adalah amat tidak wajar bagi SYABAS membuat tuntutan pampasan di peringkat ini," tambahnya.

Kerajaan negeri, katanya, akan melancarkan gerakan menyelamatkan rakyat Selangor dalam masa terdekat ini.

"Rakyat dengan ini digesa untuk bersatu bersama kerajaan negeri demi mempertahankan hak dan maruah. Percayalah, dengan usaha yang gigih dan doa yang berpanjangan usaha rakyat Selangor akan beroleh kejayaan," katanya.





SSM kunjungi penyumbang 'cek RM4 bilion'

Dua orang pegawai Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) membuat kunjungan mengejut ke pejabat I'Da World Group Sdn Bhd hari ini.

Difahamkan, mereka dari bahagian pematuhan suruhanjaya itu datang untuk memeriksa status syarikat berkenaan.

Diperhatikan pegawai berkenaan turut mengambil gambar di ruang dalaman pejabat syarikat tersebut di Kelana Jaya.

Kedua-dua pegawai tersebut turut menemui ketua pegawai eksekutif syarikat berkenaan Mohamad Sobri Din.

I'DA World Group Sdn Bhd mencuri tumpuan dan menimbulkan kejutan semua pihak kerana dikatakan bermurah hati untuk menderma sebanyak RM4 bilion kepada PAS Kelantan bagi membangunkan negeri itu.

Ini termasuk Projek Super Mega Seri Tujuh (S7) yang membabitkan kawasan seluas 144,000 ekar atau 576 hektar melibatkan kos RM313.71 juta.
Cek replika sumbangan itu diterima oleh adik menteri besar Kelantan, Nik Din Nik Mat pada Ahad lalu.

Sementara itu, kedua-dua pegawai SSM tersebut keluar dari pejabat berkenaan kira-kira 40 minit kemudian tanpa bercakap kepada pemberita.

Mohamad Sobri ketika ditemui selepas itu berkata, beliau tidak diberitahu pemeriksaan itu dibuat mengikut seksyen mana.

Tambahnya, pegawai berkenaan juga tidak mengambil sebarang dokumen daripada pejabat tersebut.





Kes Rosmah 'bini puaka': Semua tertuduh dibebaskan

Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini memutuskan tiada prima facie dalam kes Rosmah 'bini puaka' terhadap lima mahasiswa Universiti Malaya (UM).

Sehubungan itu, Hakim Rozana Ali Yusoff mengarahkan mereka - yang berdepan dengan tuduhan cubaan melakukan khianat dengan menggunakan api dan melakukan pencerobohan jenayah - dibebaskan.

Rozana membuat keputusan tersebut di Mahkamah Sesyen 2, di Kompleks Jalan Duta Kuala Lumpur.

Lima mahasiswa berkenaan - Shazni Munir Mohd Ithnin, Muhammad Aizat Roslan, Muhammad Saufi Jelani,Mohd Izzuddin Hilmi Mohd Zaini dan Mohd Syahriuldeen Ahmad Rosli dari Universiti Malaya - dituduh melakukan jenayah dibawah Seksyen 427, 436 dan 447 Kanun Keseksaan.

Bagi Seksyen 427, mereka dituduh menyimbah petrol di atas permaidani - yang bakal dilalui isteri Perdana Menteri Rosmah Mansor - dan menconteng di sebuah dewan akademi pengajian itu kira-kira jam 4 pagi.

Manakala bagi Seksyen 436, kelima-lima mahasiswa itu dituduh melakukan perbuatan khianat dengan menggunakan api di tempat dan waktu yang sama.

C4, bini puaka, pembunuh Altantuya

Bagi Seksyen 447 pula, mereka dituduh melakukan pencerobohan jenayah pada tarikh dan masa yang sama.

Semua itu, gara-gara mahasiswa berkenaan dikaitkan dengan contengan perkataan- perkataan "C4", "bini puaka" dan "pembunuh Altantuya" di dinding dewan sebelum kedatangan isteri perdana menteri Datin Seri Rosmah Mansor.

Rozana dalam penghakimannya pagi ini berkata dalam pertuduhan seksyen 436 pihak pendakwaraya gagal membuktikan elemen-elemen penting dalam pertuduhan bahawa semua tertuduh telah melakukan khianat atau cubaan melakukan khianat serta mempunyai niat bersama antara mereka.

"Tiada keterangan mengenal pasti bahan api yang digunakan untuk melakukan khianat serta kerosakan dan kemusnahan daripada bahan api tersebut," kata Rozana.

Manakala bagi seksyen 447 pula, pendakwaraya gagal membuktikan elemen niat bersama tertuduh untuk melakukan kesalahan pencerobohan.

"Tiada keterangan bahawa mereka berada di kawasan tersebut dan melakukan pencerobohan di tempat perbuatan khianat yang didakwa berlaku," katanya lagi

Sementara bagi seksyen 427 pula, Rozana berkata pihak pendakwaraya turut gagal membuktikan bahan yang digunakan adalah bahan petrol dan perbuatan contengan di dinding dilakukan oleh semua tertuduh.

"Untuk semua pertuduhan tiada keterangan langsung dibuktikan oleh pendakwaraya. Cuma mereka hanya bergantung kepada keterangan mengikut keadaan tanpa bukti sokongan.

"Setelah meneliti dan menimbang semua keterangan daripada saksi pendakwaraya, exibit dan hujah, mahkamah mendapati, di atas penilaian mahkamah, pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie.

"Dengan ini melepaskan tertuduh dan membebaskan (mereka) terhadap tiga pertuduhan itu tanpa memanggil untuk pembelaan," kata Rozana.




23/09/10

Nik Aziz: Penerima 'RM4 bilion' wakili saya karut

Kerajaan Kelantan akan menyenaraihitamkan Syarikat I'DA World Group Sdn Bhd yang didakwa mempunyai niat tertentu terhadap negeri itu berikutan pengumuman sumbangan berjumlah RM4 bilion kepada PAS Kelantan.

Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, kerajaan negeri atau parti tidak pernah melantik adiknya Nik Din Nik Mat mewakili beliau untuk menerima replika cek berjumlah RM4 bilion pada 19 September lalu.

"Saya tak hantar langsung wakil saya untuk menerima cek, malah media yang mendakwa penerima itu adalah wakil saya, karut belaka," kata Nik Aziz di Kota Bharu, seperti dilaporkan akhbar web PAS Harakahdaily.

Sebelum ini dilaporkan I'DA World Group telah menimbulkan misteri dan kejutan kerana bermurah hati menderma RM4 bilion kepada PAS Kelantan bagi membangunkan negeri itu.

Ini termasuk Projek Super Mega Seri Tujuh (S7) yang membabitkan kawasan seluas 144,000 ekar atau 576 hektar melibatkan kos RM313.71 juta.

Manakala Nik Din pula mengesahkan bahawa beliau telah menerima replika cek tersebut atas sifat peribadi dan tidak mewakili parti ataupun kerajaan negeri.

Nik Aziz yang juga mursyidul am PAS berkata, syarikat tersebut tidak mempunyai sebarang projek di negeri tersebut dan kerajaan negeri juga tidak mempunyai sebarang hubungan dengannya.

Sementara itu, Exco Kanan, Datuk Husam Musa pula dilaporkan berharap pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap syarikat tersebut, khususnya berhubung motif perkara itu.

"Ia akan menjejaskan (imej) parti dan kerajaan. Kita semua tak hadir pada majlis itu sebab memang tak pernah bincang pun (perkara itu)," katanya seperti dipetik Harakahdaily.





Kumpulan Pro-Mahasiswa Universiti Putra Malaysia (UPM) menggesa pihak pentadbiran universiti tersebut supaya tidak menghalang mahasiswa untuk hadir mendengar keputusan perbicaraan kes 'bini puaka' di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur esok.

Sebaliknya, pengerusinya Syed Syafiq Syed Hashim berkata pihaknya bersedia menghantar seramai mungkin mahasiswa universiti itu ke mahkamah tersebut untuk memberi sokongan moral kepada tertuduh.

"Pagi tadi, kami dihubungi wakil timbalan naib canselor Bahagian Hal Ewal Pelajar (BHEP) melalui telefon, meminta kami tidak menghantar mahasiswa untuk mendengar keputusan perbicaraan (esok).





"Pro Mahasiswa UPM ingin menyatakan pendirian bahawa kami akan terus menghantar mahasiswa UPM ke Mahkamah Jalan Duta esok.

"Kami berpendapat bahawa BHEP tidak mempunyai kuasa untuk menghalang mahasiswa mendengar keputusan perbicaraan di mahkamah," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, pihaknya menyeru agar mahasiswa supaya turun beramai-ramai untuk memberi sokongan moral kepada lima orang mahasiswa yang dituduh dalam kes tersebut.

Sementara itu, jurucakap Pro-M Universiti Islam Antarabangsa (UIA) berkata pihaknya juga ke mahkamah esok untuk tujuan tersebut.

Ketika dihubungi Malaysiakini, sumber berkata, kira-kira 50 mahasiswa akan hadir memberi sokongan kepada tertuduh.

Bagaimanapun, sumber itu tidak pasti sama ada pihak pentadbiran UIA ada mengeluar sebarang arahan melarang mahasiswa hadir di mahkamah esok.

Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur akan memutuskan sama ada terdapat kes prima facie terhadap kelima-lima mahasiswa Akademi Pengajian Islam (API) Univerisiti Malaya yang dituduh atas dakwaan cubaan khianat dengan menggunakan api dan melakukan pencerobohan jenayah pada 24 Jun tahun lalu.

Kelima-lima mahasiswa itu adalah Shazni Munir Mohd Ithnin, Muhammad Aizat Roslan, Muhammad Saufi Jelani,Mohd Izzuddin Hilmi Mohd Zaini dan Mohd Syahriuldeen Ahmad Rosli dari Universiti Malaya yang dituduh melakukan jenayah dibawah Seksyen 427, 436 dan 447 Kanun Keseksaan.

Bagi Seksyen 427, mereka dituduh menyimbah petrol di atas permaidani - yang bakal dilalui isteri Perdana Menteri Rosmah Mansor - dan menconteng di sebuah dewan akademi pengajian itu kira-kira jam 4 pagi.

Manakala bagi Seksyen 436, kelima-lima mahasiswa itu dituduh melakukan perbuatan khianat dengan menggunakan api di tempat dan waktu yang sama.

Bagi Seksyen 447 pula, mereka dituduh melakukan pencerobohan jenayah pada tarikh dan masa yang sama.

Prosiding mahkamah akan bermula jam 8.30 pagi esok.



Kes bunuh Sosilawati: Siasatan polis tak lengkap

Jabatan Peguam Negara telah mengembalikan semula kertas siasatan kes pembunuhan jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga yang lain kerana berpendapat siasatan dalam pelbagai aspek perlu dijalankan, menurut Ketua Bahagian Pendakwaannya Datuk Tun Abd Majid Tun Hamzah.

Dalam satu kenyataan, beliau berkata polis telah diarahkan untuk melengkapkan siasatan tersebut sebelum menghantar semula ke pihaknya.

Tun Abd Majid (kanan) berkata pihaknya telah mengembalikan kertas siasatan itu semalam setelah menerimanya pada hari yang sama kerana banyak lagi perkara yang memerlukan siasatan lebih lanjut.

Katanya Peguam Negara telah memberi beberapa arahan tertentu untuk dijalankan pihak polis dan juga menyiasat kes-kes lain yang dikatakan mempunyai kaitan dengan suspek-supek berkenaan.






Semalam, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein mengesahkan telah menyerahkan kertas siasatan itu kepada Pejabat Peguam Negara dan memberi jaminan laporan lengkap kes pembunuhan berprofil tinggi itu akan siap sepenuhnya dalam tempoh dua minggu.

Laporan itu termasuklah laporan lengkap DNA yang kini giat dilakukan oleh sekumpulan pakar forensik Jabatan Kimia bagi membolehkan pendakwaan dilakukan secepat mungkin.

Selain Sosilawati (kanan), 47, yang juga pengasas produk kecantikan Nouvelle Visages, turut dibunuh pemandunya Kamaruddin Shansuddin, 44, peguamnya, Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, dan perunding kewangannya, Noorhisham Mohammad, 38.

Polis kini turut menyiasat empat kes yang melibatkan tiga kes orang hilang dan seorang wanita yang mati dibunuh di hadapan rumahnya di Banting yang di percayai ada kaitan dengan dua peguam yang merupakan suspek utama kes pembunuhan Sosilawati.

Antara kes tersebut melibatkan seorang kontraktor, Shafik Abdullah, 37, dan seorang rakannya yang dilaporkan hilang oleh keluarganya lima bulan lalu selepas dipercayai menemui peguam tersebut di ibu negara bagi urusan perniagaan.

Kehilangan Shafik dan rakannya telah dirujuk di Ibu pejabat Daerah Brickfileds.

Selain itu, ia turut melibatkan kes kehilangan saudagar batu permata, Allal Kathan Muthuraja, 34, dari Chennai, India yang tiba di Malaysia pada 18 Januari lalu.

Allal yang mempunyai perniagaan restoran, hartanah dan barang kemas dilaporkan hilang selepas dijemput kedua-dua suspek terbabit di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

- Bernama



PERINGATAN: Blogger 1Rakyat tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
PENAFIAN: Semua petikan berita dan video di ambil dari web tempatan dan luar negara ada kena mengena dengan kepimpinan negara dan politik tanah air. Petikan ini hanya di buat untuk penilaian pengunjung sahaja untuk melihat kejadian sebenar senario politik Malaysia bukanlah dari luahan sebenar dari blogger 1Rakyat. Anda digalakan mengambil semua maklumat atau berita dalam blog ini untuk dijadikan rujukan dan pandangan dari pihak lain (copy & paste adalah digalakkan).

Posting Popular

Rakan Seperjuangan

Paparan halaman minggu lalu

Archive

BROKER PILIHAN ANDA

Ustaz Azhar Idrus

Watch videos at Vodpod and more of my videos

Blog List 3

Terdapat ralat dalam alat ini

Live Blog Stats

Suara Rakyat | About |Advertising |Blogger © 2011. modified by 1Rakyat