Facebook FanBox

Recommed Forex Broker

Degoo Cloud Free 100GB

100 GB Free Backup

27/08/10

Tangkapan pegawai Indo: M'sia tak akan minta maaf

Malaysia tidak akan meminta maaf atas insiden penangkapan tiga pegawai kementerian kelautan dan perikanan Indonesia yang didakwa menceroboh ke kawasan perairan Malaysia baru-baru ini, sekalipun benar mereka telah digari dan dipakaikan baju banduan, kata Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman.

"Kalau betul mereka digari dan sebagainya kita tidak meminta maaf kepada sesiapapun sebab itu adalah undang-undang negara kita, dan sesiapapun yang masuk ke negara Malaysia haruslah menghormati undang-undang Malaysia," katanya kepada Bernama selepas menerima kunjungan rombongan Duta Belia 2010 Indonesia di Wisma Putra di Putrajaya, semalam.

Anifah mengulas tuntutan parlimen Indonesia yang mahu Malaysia meminta maaf kerana menggari dan memakaikan baju banduan kepada tiga petugasnya itu.

Bagaimanapun, Anifah berkata beliau sedia berbincang dengan kementerian dalam negeri untuk menyemak semula prosedur berkenaan sekiranya ia tidak mendatangkan manfaat kepada mana-mana pihak, memandangkan pencerobohan kawasan itu bukanlah jenayah yang berbahaya.

Pada masa yang sama, Anifah berkata Malaysia tidak mengharapkan permohonan maaf daripada Indonesia berhubung tindakan rakyatnya yang melempar najis ke kawasan kedutaan besar Malaysia di Jakarta Isnin lalu.

Ini memandangkan ia hanya perbuatan segelintir pihak dan bukannya mewakili seluruh rakyat dan kerajaan Indonesia, katanya.

Dalam perkembangan lain, Anifah berkata pihak media, dari kedua-dua Malaysia dan Indonesia juga harus bertanggungjawab dengan laporan masing-masing, dengan memberi laporan yang tepat berdasarkan fakta dan menjaga sensitiviti antara negara.

"Saya menyokong kebebasan media, tapi janganlah kebebasan media itu sehingga mengundang masalah yang lain. Janganlah kebebasan media itu digunakan oleh orang yang punya agenda yang lain," katanya.

Beliau juga memaklumkan bahawa mesyuarat jemaah menteri pada Rabu lalu sepakat untuk menyelesaikan perkara itu secara baik dan meminta rakyat Malaysia supaya bersabar dan bersikap rasional dengan mengelakkan kejadian yang sama di negara ini.






Anifah berkata kementerian dalam negeri juga diminta untuk memastikan keselamatan warga Indonesia di negara ini tidak terjejas berhubung insiden itu.

Katanya Malaysia berharap Indonesia dapat mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang melakukan "perlakuan keji" tersebut memandangkan tanah Kedutaan Besar Malaysia itu mempunyai keistimewaan dan kekebalannya sendiri sepertimana yang tertakluk mengikut Artikel 22 Konvensyen Vienna mengenai hubungan diplomatik 1961.

Beliau berkata lebih-lebih lagi apabila ketua kumpulan Benteng Demokrasi Rakyat (BENDERA) yang mendalangi serangan itu sendiri mengakui melakukan perbuatan berkenaan dalam blognya, yang boleh dijadikan bahan bukti.

"Jika ia salah di sisi undang-undang Indonesia, saya harap tindakan akan diambil terhadap mereka yang terlibat. Tetapi saya bukannya mahu mengajar Indonesia mengenai apa yang mereka harus lakukan mengikut undang-undang mereka. Kita menghormati," katanya.





Bangkit perkauman untuk tutup kehilangan RM52 bilion

Bangkit perkauman untuk tutup kehilangan RM52 bilion

Dzulfikar Mashoor

GEORGETOWN, 27 Ogos: Tindakan Umno mengapi-apikan isu perkauman dan agama adalah cubaan menutup skandal kehilangan RM52 bilion saham Bumiputera, kata Lim Guan Eng.

Beliau yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang berkata demikian sebagai mengulas isu perkauman yang cuba dihangatkan Umno pada pada waktu ini.

"Mereka mengapi-apikan pelbagai isu perkauman supaya menutup skandal RM52 bilion.

"Dari RM54 bilion yang diberikan kepada Bumiputera sekarang hanya tinggal RM2 bilion sahaja," ujarnya semalam selepas mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat.






"Itulah sebabnya mereka mainkan isu-isu berkaitan agama dan perkauman ini, supaya isu sebenar boleh ditutup."

Sambil mendakwa Umno mengkhianati kepentingan orang-orang Melayu dan Bumiputera, Setiausaha Agong DAP itu turut mempersoal keengganan Umno BN untuk menubuhkan suruhanjaya diraja menyiasat punca ekuiti Bumiputera tinggal RM2 bilion sahaja.

"Siapa yang kebas RM52 bilion saham Bumiputera ini, tentulah Umno BN.

"Adakah disebabkan itu, mereka tidak mahu menubuhkan suatu siasatan suruhanjaya di raja," soal beliau di Ibu Pejabat PKR, Tropicana, Petaling Jaya.

Sehubungan itu, beliau menganggap DAP, PAS dan PKR atas muafakat Pakatan Rakyat wajar bersatu untuk menentang permainan politik Barisan Nasional itu.

"Kita boleh bersatu melawan kemungkaran yang dicerminkan oleh Barisan Nasional, baik Umno, MCA atau MIC," katanya lagi.

Sidang media tersebut turut disertai Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Timbalan Presiden PAS, Nasharuddin Mat Isa dan Penasihat DAP, Lim Kit Siang.

Sebelum pada itu, beliau turut mengaku bahawa beberapa pemimpin DAP memang mempunyai perbezaan pendirian berhubung cadangan PAS melaksanakan hudud.

Namun, katanya itu hanya perkara kecil dan Pakatan lebih mengutamakan agenda menentang kemungkaran yang dilakukan dalam Umno BN dari mempopularkan idealogi kepartian masing-masing.

29 Mac lalu, Guan Eng di Dewan Rakyat mempersoal integriti Umno BN ekoran kehilangan RM52 bilion itu.

Persoalan itu lanjutan Datuk Seri Najib Tun Razak, Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan mendedahkan bahawa ekuiti Bumiputera hanya tinggal RM2 bilion sahaja.

Menurut Guan Eng juga, ekuiti Bumiputera mampu meningkat sebanyak 45 peratus melalui Dasar Ekonomi Baru (DEB) sekiranya Umno tidak mengkhianati amanah rakyat, khususnya orang-orang Melayu.





Rumah RM21 juta: Hadiah untuk keluarga Taib?

Adakah syarikat pembalakan Samling menghadiahkan rumah agam berusia 100 tahun di Seattle bernilai sekurang-kurangnya US$6.8 juta (RM21 juta) kepada keluarga ketua menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud?

Soalan itu diajukan di sebuah laman sesawang anti-Abdul Taib - Sarawak Report dalam siri terbarunya yang mendedahkan kepincangan di negeri itu.

Rumah agam itu dibeli oleh firma Pelaburan CSY yang berpangkalan di California pada 1991 melalui anak syarikatnya, WA Boylston Inc, dan pemilikan hartanah itu didakwa dipindahkan kepada keluarga Taib beberapa tahun kemudian dengan harga nominal US$1 (RM3.1).

Menurut Sarawak Report, CSY adalah huruf pertama nama presiden Pelaburan CSY, - Chee Siew Yaw - anak lelaki Yaw Teck Seng yang disenaraikan oleh majalah Forbes sebagai rakyat Malaysia yang ke-13 terkaya di Malaysia bersama anak sulungnya, Yaw Chee Ming.






Teck Seng, 72, adalah pengasas konglomerate Samling Global, yang menjalankan operasi pembalakan di hutan di Sarawak sebelum berpindah ke luar negara seperti Guyana, Russia dan China.

Awal minggu ini, dana pencen Norway mengumumkan keputusan kerajaan untuk melupuskan 16 juta sahamnya di Samling berikutan operasi 'tidak beretika' yang dijalankan di syarikat itu di Sarawak dan Guyana. Ia termasuk dakwaan menjalankan kegiatan pembalakan haram dan memusnahkan alam sekitar.

Bagaimanapun semalam, Abdul Taib mempertahankan Samling, sambil menyifatkannya sebagai syarikat yang 'bertanggung-jawab'.

“Abdul Taib dalam kapasitinya sebagai ketua menteri, menteri kewangan, menteri perancangan negeri dan sumber - telah menguasai pengeluaran lesen pembalakan Sarawak untuk lebih 30 tahun, - ini menimbulkan persoalan berhubung tindakannya yang memihak syarikat tidak beretika,” kata Sarawak Report.

Rumah agam dua tingkat ini, pada pada asalanya dibina pada 1910. Ia terletak di kawasan kejiranan eksklusif di Boylston Avenue East yang mempunyai pandangan bandar Seattle.

Bangunan ini mempunyai enam bilik mandi, lima bilik tidur dan bilik bawah tanh, patio yang luas, garaj, gazebo, kolam renang dan gelanggang tennis.

Menurut Sarawak Report, rumah agam milik keluarga ini mempunyai kawasan yang boleh memuatkan enam padang bola.


'Tazkirah' di surau: Saya ikhlas, kenapa dipermain?

Ahli parlimen Serdang Teo Nie Ching berkata beliau tidak faham kenapa lawatan 'kontroversinya' ke sebuah surau di Kajang Ahad lalu "dipermainkan-mainkan" kerana beliau berniat ikhlas.

"Lawatan ke surau Al Huda adalah satu lawatan yang mesra, (dan) ikhlas untuk berjumpa dengan penduduk di situ. Mereka menerima kehadiran saya.







"Saya tidak faham mengapa lawatan kecil ini dipermain-mainkan," katanya.

Ketika dihubungi Malaysiakini Teo menjelaskan hanya mahu menyampaikan sumbangannya bagi memperbaiki pagar surau berkenaan, seperti yang diminta oleh pihak pengurusan rumah ibadat itu.

Beliau juga mendakwa tidak tidak menyentuh langsung soal politik sebaliknya hanya menerangkan tentang bantuan pendidikan yang ditawarkan oleh kerajaan Selangor.

"Kebanyakkan mereka tidak mengetahui tentang perkara ini, dan saya mengambil kesempatan untuk menyampaikan perkara tersebut kepada mereka," katanya.

Sementara itu, mengulas isu kemasukannya ke dalam ruang solat di surau itu, Teo berkata beliau hanya memenuhi jemputan.

"Pada hari tersebut mereka menjemput saya masuk. Saya double check sama ada boleh masuk atau pun tidak.

"Saya sudah mendapat keizinan daripada pihak surau untuk masuk ke dalam surau. Muslimin dan muslimat pun, mereka menjemput saya masuk," jelasnya lagi.



Bendera M'sia dibakar, diludah dalam demo di Jakarta

Penunjuk perasaan di hadapan kedutaan Besar Malaysia di Jakarta terus bersikap liar dengan membakar dan meludah Jalur Gemilang serta bergaduh dengan pasukan polis Indonesia yang mengawal di situ hari ini.

Seramai 600 orang menyertai demonstrasi itu berteriak "ganyang Malaysia" bagi membantah apa yang mereka dakwa pencerobohan pihak berkuasa Malaysia di perairan perbatasan kedua-dua negara, berhampiran Bintan, Kepulauan Riau 13 Ogos lepas.

Ketika emosi memuncak, penunjuk perasaan bergaduh dengan pasukan Polis Indonesia yang menghalang mereka daripada menghampiri pintu pagar untuk masuk ke dalam kawasan kedutaan.

Mereka membaling batu dan selipar ke arah polis. Seorang daripada mereka ditahan polis kerana membaling sebatang buluh, yang sebelum itu digunakan untuk mengibarkan bendera Indonesia, ke arah pasukan keselamatan.






Insiden pada 13 Ogos itu membabitkan penahanan tiga pegawai penguatkuasa laut Indonesia oleh Polis Marin Malaysia ekoran penahanan tujuh nelayan Malaysia oleh bahagian penguatkuasa Kementerian Kelautan dan Perikanan Indonesia kerana didakwa meneroboh.

Malaysia mempertahankan bahawa nelayan tersebut berada di perairan sendiri apabila ditahan oleh pihak penguatkuasa Indonesia itu. Kesemua tahanan itu telah dibebaskan pada 17 Ogos.

Kumpulan penunjuk perasaan hari ini menuntut Malaysia memohon maaf serta meminta kerajaan Indonesia memanggil balik Duta Besar Indonesia di Malaysia.

Keadaan reda apabila anggota kumpulan yang beremosi dapat ditenangkan oleh beberapa orang pemimpin kumpulan tersebut.

Sejak insiden 13 Ogos itu, beberapa demonstrasi dilakukan oleh kumpulan-kumpulan kecil antara 20 dan 40 orang sahaja namun ia tetap ganas
sehingga ada yang bertindak merosakkan plak nama Kedutaan Besar itu, memanjat pintu pagar dan tembok pintu pagar dan berdiri di atasnya.

Kerosakan pada harta benda kedutaan besar itu telah dilakukan oleh penunjuk perasaan dari kumpulan Laskar Merah Putih.

Penghinaan paling buruk dilakukan terhadap Malaysia ialah perbuatan melempar najis manusia ke dalam kawasan Kedutaan Besar Malaysia di sini oleh penunjuk perasaan dari kumpulan Benteng Demokrasi Rakyat (Bendera) pada Isnin lepas.

Sementara itu, untuk hari kedua berturut-turut, kediaman Duta Besar Malaysia di Patra Kuningan, Jakarta Selatan, terpaksa dikawal ketat oleh Polis Indonesia berikutan satu lagi ancaman demonstrasi dan melempar najis.

Semalam, kumpulan Benteng Demokrasi Rakyat (Bendera) serta kumpulan gabungannya yang menamakan diri Pemuda Pemudi Anti Malaysia dilaporkan merancang melakukan perbuatan itu pada jam 10 pagi ini tetapi membatalkan niat itu atas sebab-sebab yang tidak diketahui.

Kumpulan sama bercadang meneruskan rancangan mereka namun sehingga petang ini, mereka belum muncul.

Seperti semalam, bahagian jalan di hadapan rumah Duta Besar Malaysia telah ditutup kepada lalulintas sejak pagi ini dan polis telah menempatkan para anggotanya di sekitar kawasan itu.

Aksi demonstrasi ini dilakukan bagi membantah insiden penahanan tiga pegawai penguatkuasa Kementerian Kelautan dan Perikanan Indonesia oleh Polis Marin Malaysia pada 13 Ogos.

Dalam insiden itu bahagian penguatkuasa kementerian dari Indonesia itu turut menahan tujuh nelayan Malaysia. Kedua-dua pihak mempertahankan bahawa penahanan itu adalah bagi kesalahan pencerobohan terhadap wilayah perairan masing-masing.

Kesemua tahanan itu telah dibebaskan pihak berkuasa kedua-dua belah pihak pada 17 Ogos.

- Bernama




Kilang arak: Umno ludah ke langit, kata Khalid Samad

Timbalan pengerusi Umno Selangor, Datuk Seri Noh Omar bagai meludah ke langit, apabila mendakwa PAS takutkan DAP berhubung penutupan kilang arak di Selangor, lapor HarakahDaily.

Ahli parlimen Shah Alam, Khalid Samad berkata, Noh yang juga menteri pertanian tidak sedar bahawa perkara dibangkitkan tersebut seperti meludah ke muka sendiri.

"Saya nak tanyalah, kalau kilang Carlsberg itu tak tutup sebab PAS takutkan DAP, maka Umno waktu buka kilang tu diorang melutut pada siapa?" soalnya.

Beliau menyoal demikian ketika diminta mengulas kenyataan Noh dalam wawancara dengan Malaysiakini.

Noh dalam wawancara itu secara khusus mengaitkan nama Khalid dalam isu penutupan kilang arak berkenaan.

'Berenang dalam arak'

Khalid katanya ada berjanji mahu menutup kilang arak jika Pakatan Rakyat memerintah Selangor, namun gagal berbuat demikian.

Khalid bagaimanapun menjelaskan kerajaan negeri Pakatan Rakyat di Selangor masih baru dan dalam fasa memberi kefahaman kepada rakyat negeri itu dan tidak boleh bertindak melulu.

Jelasnya, lawatannya ke kilang Carlsberg baru-baru ini kerana mahu bertanya sama ada pengusaha kilang berkenaan mempunyai perancangan untuk berpindah tapak atau tidak.

"Berbanding Umno, mereka bangga letak kilang Carlsberg di pintu masuk Shah Alam.





"Seperti didedahkan bekas ahli Umno, Saifudin Nasution di parlimen, pemuda Umno ni 'berenang' dalam arak, sebab itu diorang tak peduli," katanya lagi.

Mengulas isu 'berbeza kitab' antara Selangor dan Kelantan yang turut dibangkitkan oleh Noh ketika diwawancara Malaysiakini, Khalid berkata bukan kitab yang berbeza tetapi suasana.

"Saya rasa Noh Omar tak mengaji siasah Syar'iyyah, ini bukan masalah kitab berbeza, tetapi suasana dan realiti itu berbeza," katanya.

PAS Selangor, katanya sedang berusaha memberi kefahaman berhubung syariat Islam termasuk kepada bukan Islam negeri itu.

"Bukan orang bukan Islam je menolak syariat lslam sebab tidak faham, tetapi orang Islam sendiri yang menyokong Umno pun menolak.

"DAP tak halang kita memberi kefahaman Islam tetapi yang banyak halang kita dulu dan sekarang adalah Umno," katanya lagi.

Mengulas kesan kempen 'Selamatkan Selangor' yang dibuat Umno negeri itu, Khalid berkata beliau yakin rakyat Selangor adalah bijak, bermaklumat dan mampu menilai.

"Kita tak nampak akan menjejaskan kedudukan kita dan kita tidak akan halang kerja mereka," katanya.







PERINGATAN: Blogger 1Rakyat tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
PENAFIAN: Semua petikan berita dan video di ambil dari web tempatan dan luar negara ada kena mengena dengan kepimpinan negara dan politik tanah air. Petikan ini hanya di buat untuk penilaian pengunjung sahaja untuk melihat kejadian sebenar senario politik Malaysia bukanlah dari luahan sebenar dari blogger 1Rakyat. Anda digalakan mengambil semua maklumat atau berita dalam blog ini untuk dijadikan rujukan dan pandangan dari pihak lain (copy & paste adalah digalakkan).

Posting Popular

Rakan Seperjuangan

Paparan halaman minggu lalu

Archive

BROKER PILIHAN ANDA

Ustaz Azhar Idrus

Watch videos at Vodpod and more of my videos

Blog List 3

Terdapat ralat dalam alat ini

Live Blog Stats

Suara Rakyat | About |Advertising |Blogger © 2011. modified by 1Rakyat