Facebook FanBox

Recommed Forex Broker

24/04/10

Zaid dilantik ketua task force tanah peneroka


HULU SELANGOR, 24 April: Kerajaan Pakatan Rakyat negeri Selangor telah melantik Datuk Zaid Ibrahim sebagai ketua task force khas memastikan semua peneroka di negeri ini mendapat hak milik ke atas tanah yang mereka terokai sejak sekian lama.


Perkara itu diumumkan oleh Menteri Besar,Tan Sri Khalid Ibrahim sewaktu berucap menutup Himpunan Warga Felda Kebangsaan kali kedua di Felda Sungai Tengi, petang tadi.


"Orang yang akan bersama saya membantu tuan puan mendapat hak tanah ini adalah Datuk Zaid Ibrahim.


"Beliau telah cakap dengan saya, beliau akan uruskan hak tanah peneroka negeri Selangor, " umum Khalid di majlis itu disambut sorakan warga felda yang hadir.


Zaid katanya diberi tanggungjawab menyemak semula semua perjanjian yang dibuat antara peneroka dengan Felda dan juga kerajaan pusat.


Sekiranya berlaku ketidakadilan kepada peneroka, pihak kerajaan negeri akan mengambil langkah segera menyelesaikannya.


Beliau juga mengumumkan perlantikan ahli lembaga Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Mohamed Azmin Ali untuk menguruskan perumahan generasi kedua yang dirancangkan sebelum ini.


"Kerajaan negeri Selangor berusaha membuat penempatan untuk generasi kedua Felda.


"Tugas ini saya kan serahkan kepada Azmin Ali," katanya lagi.


Mengulas lanjut pemilihan Zaid beliau berkata, ianya dibuat bukan kerana Zaid menjadi calon Pilihan Raya Hulu Selangor, tetapi atas kepakaran dan pengalaman Zaid sebagai seorang peguam sebelum ini.


"Kerajaan negeri Selangor bertuah dapat personaliti macam Zaid," katanya.

Penyokong BN buat kecoh di Felda Sungai Tengi


HULU SELANGOR, 24 April: Hari terakhir kempen Pilihan Raya Kecil Parlimen Hulu Selangor menyaksikan satu lagi kekecohan berlaku membabitkan penyokong BN dan Pakatan Rakyat.


Ianya berlaku kira-kira jam 5.45 petang tadi di jalan berhadapan Dataran Felda Sungai Tengi, iaitu tempat berlangsungnya Himpunan Warga Felda Kebangsaan kali ke-2.


Insiden tercetus apabila sekumpulan 20 pasukan konvoi bermotosikal Barisan Nasional melalui jalan tersebut dengan membuat provokasi dengan bunyi ekzos yang kuat sehingga mengganggu majlis himpunan yang diadakan.


Ianya menimbulkan kemarahan penyokong Pakatan Rakyat dan peserta himpunan yang pada waktu itu sedang mendengar pengumuman Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim berhubung hak pemilikan tanah peneroka.


Ekoran itu, ada di antara mereka mendekati pemuda BN tersebut dan mengarahkan mereka beredar dengan segera bagi mengelakkan kekecohan.


Namun seperti ada yang tidak berpuas hati dengan arahan itu, berlaku sedikit pertengkaran antara kedua-dua pihak sehingga menimbulkan suasana kelam kabut.



Sekurang-kurangnya dua buah motosikal yang dinaiki mereka dilihat terbalik dan sedikit pergaduhan kecil juga berlaku.


Insiden lebih kurang lima minit itu bagaimanapun disuraikan orang ramai sebelum kehadiran pihak polis tidak lama kemudian.


Kejadian itu berlaku pada kali keenam kumpulan motosikal tersebut yang berulang alik melalui jalan yang sama.

23/04/10

Zaid ajak rakyat Hulu Selangor lawan rasuah

HULU SELANGOR, 23 April: Walaupun Umno/BN dalam pusingan akhir berkempen melambakkan wang rasuah kepada para pengundi, calon Pakatan Rakyat, Datuk Zaid Ibrahim mengingatkan jentera dan rakyat supaya terus komited menolak gejala rasuah.


“Sekali lagi, saya nak ingatkan kita (Pakatan Rakyat) tak perlu bimbang, kita tak perlu takut untuk terus memupuk kepercayaan kepada pengundi.


“Rakyat di Hulu Selangor pun, saya yakin tidak bersedia menerima rasuah,” jelas beliau pagi tadi di Pusat Media dan Informasi, Kuala Kubu Baru.


Beliau yang juga seorang Koordinator Pakatan Rakyat berkata, sekiranya kuasa rasuah dan politik wang Umno berkesan dalam pilihan raya tanah air, maka sudah tentu kesemua 222 kawasan Parlimen di Malaysia telah pun dimenangi oleh Umno/BN.


“Kalau rasuah boleh memenangkan mana-mana calon BN, maka kesemua Parlimen jadi milik mereka, mengapa ada ahli Parlimen pembangkang sekarang ini,” soalnya.


Tambahnya lagi, keputusan rakyat memilih kesemua 80 ahli Parlimen Pakatan Rakyat pada Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU12) sebenarnya demi menyelamatkan Malaysia daripada terus dibinasakan oleh gejala rasuah dan penyalahgunaan kuasa.


Bercakap di depan lebih 20 wartawan di sini, beliau sendiri terpaksa mengambil keputusan meletak jawatan sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri sebelum ini kerana tidak bersetuju dengan ketidakbebasan mahkamah di Malaysia serta penyalahgunaan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) secara zalim.


Dalam pada itu, beliau dilihat seakan menyindir Ketua Pengarah Eksekutif (CEO) Kumpulan CIMB Datuk Seri Nazir Tun Razak, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin ekoran berleluasanya amalan rasuah dan penyalahgunaan kuasa pada pilihan raya kali ini.


“Nampaknya saya dalam pilihan raya kali ini terpaksa berlawan dengan individu yang dianggap terkaya di Malaysia (Nazir), adik kepada Najib,” jelas beliau dalam nada yang kesal.


“Saya juga terpaksa berdepan dengan Perdana Menteri dan Tan Sri Muhyiddin Yassin, itulah yang saya perlu hadapi kalau mereka amalkan rasuah di Hulu Selangor.”


Sebelum itu, Ketua Strategik PKR, Tian Chua mendedahkan tentang beberapa kes sogokan bernilai RM1,000 kepada keluarga tertentu di Hulu Selangor yang membabitkan individu yang dipercayai jentera Umno/BN.


“Keluarga tertentu ada yang dah terima sejumlah RM1,000 dan ada yang menerima lebih dari itu,” jelas beliau.


Dengan dua hari lagi untuk berkempen, beliau menasihatkan supaya jentera Umno/BN kembali mengamalkan kempen politik yang lebih beretika dan bermaruah kerana pilihan raya kecil kali ini diadakan bukannya untuk memilih Ketua Cawangan Umno.


Sebaliknya, menurut beliau, pilihan raya kali ini untuk memilih seorang ahli parlimen yang benar-benar berani lagi ikhlas untuk mewakili rakyat Hulu Selangor di Dewan Rakyat kelak.


Turut menyertai Zaid dan Tian adalah Fuziah Salleh, Pengarah Pilihan Raya PKR dan Latheefa Koya, Ketua Penerangan PKR.

22/04/10

Nik Aziz gempur Hulu Selangor mulai esok


Setelah didakwa 'agak lemah' di permulaan kempen, PAS kini kelihatan mula menggempur habis-habisan BN di Hulu Selangor dengan menurunkan tokoh besar mereka Datuk Nik Aziz Nik Mat bagi berkempen untuk kemenangan calon PKR Datuk Zaid Ibrahim.


Nik Aziz - mursyidul am parti Islam itu - yang baru pulang daripada mengerjakan umrah di Tanah Suci dijadual berada dua hari di kawasan parlimen Hulu Selangor mulai petang esok.


Esok, beliau akan memberikan kuliah Maghrib di Masjid Kuala Kubu Bharu dan pada malamnya berceramah di Changkat Asa, Hulu Bernam.


Manakala pada hari Sabtu - sehari sebelum pengundian - menteri besar Kelantan itu akan memberikan kuliah Subuh di Masjid As-Salam Bukit Sentosa dan pada malamnya sekali lagi berceramah di Stadium Mini Kuala Kubu Bharu.


Kehadiran tokoh popular itu dijangka memberikan kesan yang besar kepada perubahan mood pengundi di Hulu Selangor di hari-hari terakhir sebelum pengundian dijalankan pada Ahad.


Kehadiran ualama PAS itu juga bakal menyaksikan pertembungan antara 'jeneral besar' Pakatan Rakyat dan BN apabila Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak juga dijadual menghabiskan kempennya di Hulu Selangor esok.


Kedatangan Nik Aziz dilihat sebahagian daripada serangan balas PAS bagi pihak Pakatan setelah bertahan, khususnya dalam menangani isu 'moral' Zaid yang dimainkan BN dengan berkesan.


Sejak awal lagi, 'faktor Nik Aziz' dipandang serius oleh kedua-dua pihak bertanding.


Walaupun tanpa kehadiran susuk tubuhnya sebelum ini, papan tanda besar memaparkan ulama PAS itu sedang berdoa bagi kemenangan Zaid dinaikkan di serata tempat.


Manakala BN pula mengambil pendekatan hampir sama melalui papan tanda gergasi memaparkan 'keprihatinan' Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menziarahi Nik Aziz yang terlantar sakit di hospital sebelum ini.


PAS - parti yang paling berpengalaman dalam Pakatan - sejak kelmarin berikrar membantu PKR sepenuh tenaga dengan meningkatkan jentera dan kepakarannya daripada 20 kepada 60 peratus setelah didakwa 'agak lemah'.


Menyambut janji tersebut, Ketua Pemuda PAS Nasrudin Hassan sendiri semalam turun berkampung bagi memantau sendiri program Dewannya - jentera utama parti itu - sehinggalah selesai pilihan raya Ahad ini.

21/04/10

Semua Mantan PM Malaysia minum ARAK - kecuali Pak Lah


BN digesa menghentikan serangan peribadi terhadap calon Pakatan Rakyat Datuk Zaid Ibrahim - dengan terus mengaitkannya dengan isu minum arak - kerana perkara tersebut "melampau batas" dan menjadi budaya dalam Umno, parti terasnya sendiri.


Menyifatkan kempen sebegitu sebagai "tiada kelas", Setiausaha Agung PAS Mustafa Ali mendakwa, semua perdana menteri Malaysia - kecuali Tun Abdullah Ahmad Badawi - terlibat dengan pengambilan minuman beralkohol.


"Tak ada seorang pun daripada mereka itu yang tak pernah minum arak, kecuali (Abdullah) Badawi. Pak Lah saya akui, yang saya tahu, tak minum arak.






"Tetapi empat yang lain ini semua terlibat. Ada yang saya tengok dengan mata saya sendiri terlibat," katanya yang juga bekas pengarah pilihan raya pusat PAS.


Bercakap dalam sidang media di pejabat agung parti itu di ibu negara tengah hari ini, Mustafa turut mendakwa, selain meminum arak, tiada pemimpin utama Umno yang bebas daripada tiga lagi "dosa", iaitu "rasuah, judi dan perempuan."


"Kadangkala empat (dosa) sekali gus ada pada seorang," katanya yang mengaku mengetahuinya kerana pernah berada dalam kerajaan ketika parti itu bergabung dalam BN sekitar tahun 70-an.


Bagaimanapun, Mustafa memberi jaminan, PAS tidak akan mengikut rentak parti lawan dengan mengambil pendekatan yang sama kerana strategi tersebut "orang PAS tidak pernah buat".


"Tidak, tidak, tidak. Maknanya nak beri tahu, kalau PAS nak main isu ini, dah lama dulu PAS boleh main. Tetapi PAS tak buat, kita jaga etika.


"Tetapi saya nak bagi tahu, kamu (Umno) main isu Zaid ini, kalau kita (PAS) hendak main, kita boleh sebut.


"Ini apa yang kamu buat dulu, sekarang pun kamu masih terus (terlibat)," katanya ketika disoal sama ada PAS akan mengikut rentak yang sama dengan Umno selepas ini.


Ditanya sama ada PAS mahu menjadikan isu tersebut sebagai "peluru terakhir" dalam pilihan raya kecil Hulu Selangor kali ini, Mustafa sambil ketawa berkata:


"Tengoklah kalau (mereka) agak (sombong) sangat."


Katanya, isu melibatkan peribadi silam Zaid sengaja dimainkan Umno kerana parti itu tidak mempunyai sebarang lagi itu untuk "memukul" Zaid.


Mustafa juga berkata, selain Zaid, dua lagi pemimpin Pakatan yang sering menjadi mangsa serangan peribadi kali ini, Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Besar Selangor Khalid Ibrahim sendiri.


"The Ibrahim brothers (adik-beradik Ibrahim)," guraunya lagi.

Mohamad Sabu: Tolak 'tuah' jika tolak Zaid

Pengundi Hulu Selangor dikatakan "menolak tuah" jika tidak memilih calon PKR sebagai wakil rakyat mereka pada pilihan raya kecil parlimen Hulu Selangor 25 April ini.


Ahli Jawatankuasa PAS pusat Mohamad Sabu berkata ini kerana calon yang dikemukakan oleh Pakatan Rakyat itu adalah seorang yang terbukti prinsipnya dalam membela rakyat.


"Zaid Ibrahim manusia berprinsip. Beliau (adalah) menteri, bila ISA (Akta Keselamatan Dalam Negeri) digunakan, beliau tidak bersetuju.


"Kalau kita tidak bersetuju dengan percakapan lawan dengan percakapan, kalau tulisan, lawan dengan penulisan, wartawan lawan dengan kewartawanan, bukan dengan ISA. Lainlah kalau angkat senjata.


"Oleh itu, Zaid ambil keputusan untuk meletak jawatan (sebagai menteri). Dalam dunia ini nak cari orang macam begini (memang) payah," kata Mohamad Sabu ketika menyampaikan ceramah di Jalan Padang Tembak di Kuala Kubu Baru, malam semalam.


"Walaupun beliau mempunyai banyak kelemahan sebagai manusia, tapi sebagai menteri yang berprinsip, beliau meletakkan jawatan sedangkan banyak kemudahan dan kelebihan disediakan oleh kerajaan.


"Kalau tak angkat Zaid Ibrahim sebagai wakil rakyat, memang orang Hulu Selangor menolak tuah. Jarang ada di dunia orang seperti Zaid Ibrahim apabila beliau tidak bersetuju dengan dasar kerajaan, dia letak jawatan dan kemudiannya menyertai pembangkang," katanya yang juga bekas naib presiden PAS.


Kira-kira 500 orang hadir pada majlis ini walaupun cuaca begitu sejuk berikutan hujan lebat pada sebelah petang.


Dakwa Mohamad Sabu, selepas pilihan raya umum pada 2008, kerajaan BN cuba menimbulkan pelbagai isu perkauman yang sensitif, termasuk memfitnah exco Selangor Teresa Kok yang didakwa cuba menghalang azan daripada berkumandang dan menahan seorang wartawan smengikut ISA.


Hal berkenaan katanya, mendorong Zaid yang juga bekas ketua Umno bahagain Kota Bharu membantah dan seterusnya meletakkan jawatan.


"(Inilah) Zaid (yang) saya hormat. Ada satu perkara yang orang lain tidak tidak boleh buat. Orang yang ada prinsip memang kita hormat," katanya.


Pada ceramah yang sama Mohamad Sabu turut membidas kerajaan BN kerana membuat perjanjian dengan firma-firma yang mempunyai kepentingan Yahudi.


"Unsur Yahudi amat bahaya. Politik Yahudi adalah menghapuskan orang yang tidak disukainya. Kita bimbang politik Yahudi masuk ke Malaysia," katanya.


Menurut Mohamad Sabu beliau kuathir berlakunya kebocoran maklumat negara ini yang tidak boleh dipandang kecil.


Sehubungan itu, beliau menggesa rakyat memilih Zaid Ibrahim dalam pilihan raya kecil itu pada 25 April ini sebagai membantah tindakan kerajaan BN.

20/04/10

Zaid usaha selesai hak milik tanah peneroka Felda

HULU SELANGOR, 20 April: Datuk Zaid Ibrahim, calon Pakatan Rakyat petang tadi mengumumkan tiga agenda perubahan yang ingin dilaksanakan di Parlimen Hulu Selangor sekiranya dipilih ke Parlimen kelak termasuk pemilikan tanah Felda.


Demi menyelesaikan masalah pemilikan tanah oleh para peneroka Felda pula, beliau bercadang mengajak kerajaan negeri bertindak campur tangan dalam menghadapi birokrasi Felda, iaitu badan berkanun di bawah Pusat.


Dengan pengalaman menjadi peguam kanan bagi kerajaan sebelum ini, beliau bersedia untuk memastikan para peneroka Felda terbabit mendapat hak pemilikan tanah yang sepatutnya kelak.


Selain itu, dua agenda lain menyentuh soal kepentingan anak muda dan isu keperluan air percuma setelah berbincang panjang dan dipersetujui sendiri oleh Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim.


"Apa-apa pun yang nak saya laksanakan, saya perlu berbincang dulu dengan beliau (Khalid), sekiranya tidak ada sokongan kerajaan Selangor, tidak ada sokongan rakyat, tentunya tidak berjaya," ujarnya pada sidang media yang masuk hari keempat berkempen, hari ini.


Untuk memperbanyakkan peluang pekerjaan untuk rakyat tempat, Zaid berkata, beliau sedia untuk bekerjasama dengan kerajaan negeri Pakatan Rakyat supaya aktiviti ekonomi digalakkan di Hulu Selangor.


Menurut beliau, dengan berbuat demikian, anak-anak muda Hulu Selangor tidak perlu lagi berhijrah keluar mencari pekerjaan sebaliknya mereka boleh bersama-sama kerajaan negeri mengubah tahap kehidupan masing-masing di samping menikmati kekayaan hasil bumi negeri Selangor sendiri.


Selain itu, beliau juga berusaha mereputasi kualiti hidup rakyat di Hulu Selangor, termasuk memastikan setiap rakyat mendapat nikmat 20 meter padu air daripada kerajaan negeri secara percuma.


Menurut beliau, tidak ada maknanya sebuah kerajaan negeri sekiranya kekayaan yang diperolehi dari hasil bumi Selangor tidak dinikmati oleh rakyat sendiri.


Bercakap pada sidang media yang sama, Khalid menganggap Zaid mampu memberi nilai tambah pada PKR, Pakatan Rakyat Selangor dan kerajaan negeri sendiri.


"Saya nak tegaskan bahawa pemilihan Datuk Zaid ini adalah berasaskan pelbagai nilai tambah dan peranannya akan memberi nilai tambah yang besar untuk kekuatan PKR, Pakatan dan kerajaan negeri.


"Nilai tambah yang perlu dan boleh dilakukan oleh Zaid ini, beliau bukan sahaja boleh membawa isu penafian hak peneroka Felda ke Parlimen, boleh memberitahu kaedah-kaedah dan cara-cara untuk menyelesaikan isu tanah menggunakan jalan perundangan," jelasnya.


Tidak cukup dengan itu, sekiranya rakyat memilih Zaid, bermakna rakyat memilih seseorang pemimpin yang bersedia menentang kezaliman Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), mempertahankan kebebasan bersuara dan demokrasi yang menjadi hak asasi rakyat di Dewan Rakyat kelak.


Dalam pada itu, beliau turut meminta rakyat membuat perbandingan yang wajar antara kebolehupayaan Zaid dengan pencabarnya, P. Kamalanathan.


Sekiranya Zaid dilihat lebih berpengalaman serta mempunyai kebolehupayaan yang jauh lebih baik berbanding Kamalanathan, beliau berkata, tidak ada sebab bagi rakyat untuk tidak memilih Zaid pada Hari Mengundi, Ahad ini.


Turut menyertai Zaid dan Khalid di Pusat Informasi dan Media, Kuala Kubu Baru adalah Exco Kerajaan Selangor, Elizabeth Wong dan Ketua Penerangan PKR, Latheefa Koya.

PERINGATAN: Blogger 1Rakyat tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
PENAFIAN: Semua petikan berita dan video di ambil dari web tempatan dan luar negara ada kena mengena dengan kepimpinan negara dan politik tanah air. Petikan ini hanya di buat untuk penilaian pengunjung sahaja untuk melihat kejadian sebenar senario politik Malaysia bukanlah dari luahan sebenar dari blogger 1Rakyat. Anda digalakan mengambil semua maklumat atau berita dalam blog ini untuk dijadikan rujukan dan pandangan dari pihak lain (copy & paste adalah digalakkan).

Posting Popular

Rakan Seperjuangan

Paparan halaman minggu lalu

Archive

BROKER PILIHAN ANDA

Ustaz Azhar Idrus

Watch videos at Vodpod and more of my videos

Blog List 3

Terdapat ralat dalam alat ini

Live Blog Stats

Suara Rakyat | About |Advertising |Blogger © 2011. modified by 1Rakyat